Rabu, 19 Desember 2012

KENALI SIMPTOM KANSER PAYUDARA

simptom kanser payudara,payudara yang terkena kanser,bagaimana kanser payudara terjadi,kanser,payudara

Biasanya, sel-sel tubuh dihasilkan secara semula jadi hanya apabila ia diperlukan. Namun kadangkala sel-sel itu terus bertambah dan tidak dapat dikawal sehingga membentuk gumpalan yang dikenali sebagai tumor. Jika sel-sel yang bertambah itu adalah sel normal, maka ia tidak berbahaya. Namun jika yang bertambah itu adalah sel yang abnormal, ia boleh mengakibatkan kanser.

Sesuai dengan namanya, kanser payudara ini bermula di dalam payudara dan boleh merebak ke sekeliling payudara bahkan ke organ-organ lain. Penularan itu juga dikenali sebagai metastasis. Kanser payudara tidak hanya berlaku pada wanita, malah juga pada lelaki. Sehingga kini, punca kanser masih belum diketahui secara pasti tetapi beberapa faktor dikenal pasti dapat meningkatkan risiko berlakunya kanser, antaranya:

1) Usia

Bagi wanita, risikonya diserang kanser payudara meningkat apabila usianya 40-an sementara bagi lelaki pula risikonya meningkat pada usia 60-an.

2) Genetik

Risiko menghidap kanser payudara meningkat jika memang ada saudara terdekatnya yang pernah diserang kanser payudara.

3) Pola makan yang tidak sihat dan mengalami obesiti.

4) Merokok dan sering minum minuman beralkohol.

5) Malas bersenam.

Berikut adalah beberapa simptom apabila diserang kanser payudara:

- adanya benjolan pada atau di sekitar payudara setelah habis tempoh haid
- perubahan pada bentuk dan ukuran payudara
- keluar cecair jernih atau kemerah-merahan dari puting
- kulit payudara berkedut atau bersisik
- kulit payudara berubah menjadi kemerah-merahan (radang) dan berlaku perubahan pada puting (misalnya,    menggelupas).

Kurangnya kesedaran terhadap bahaya kanser payudara seringkali membuatkan penyakit ini dikesan hanya setelah parah, terutamanya pada lelaki. Bagi mencegah kanser payudara, anda disarankan supaya melakukan pemeriksaan rutin ke atas diri sendiri (self-exams). Rabalah payudara untuk mengetahui kemungkinan adanya benjolan, atau lakukan pemeriksaan dengan mamogram apabila anda memasuki usia 40 tahun, lebih-lebih lagi jika keluarga anda mempunyai sejarah kanser payudara. Pemeriksaan dengan Sonomamogram 3D adalah lebih tepat dan selamat kerana ia tidak menggunakan radiasi.

Perlu tip yang lebih mudah untuk mencegah kanser? Anda harus rajin bersenam, sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari. Makan makanan sihat juga dapat membantu mencegah kanser, contohnya pelbagai beri (strawberi dan raspberi) yang kaya dengan antioksida dan sayur-sayuran hijau (bayam, brokoli dan kubis). Juga, elakkan makanan yang diproses dan yang mengandungi banyak lemak.

Sumber Artikel : Yahoo
Sumber: www.meetdoctor.com
Oleh: Stephanie Firdaus
Ulasan oleh: Dr. Andryana
Hospital Wanita dan Kanak-kanak Brawijaya

Tidak ada komentar:

Posting Komentar