Sabtu, 24 November 2012

BAYI 2 BULAN MAUT TERCEKIK BIJI RAMBUTAN

Ahli keluarga Mohd Aizudin mengangkat jenazah Mohd Hafizie Farhan 
yang meninggal akibat tercekik biji rambutan.

Kuala Terengganu: Seorang bayi lelaki berusia dua bulan maut tercekik biji rambutan yang disuapkan abangnya yang berusia dua tahun, petang kelmarin.

Mangsa meninggal dunia jam 2.30 petang semalam selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Dalam kejadian jam 3.30 petang kelmarin di kediaman nenek mereka di Kampung Laut, di sini, mangsa, Mohd Hafizie Farhan Mohd Aizuddin, terjaga dari tidur dan menangis, sebelum bapanya, Mohd Aizuddin Razali, 26, ke dapur untuk membancuh susu.

Abang mangsa, Mohd Haiqal Fikri, yang sedang makan buah rambutan yang dipetik dari pokok di depan rumah neneknya itu masuk ke bilik dan cuba memujuk adiknya.

Suap biji rambutan

Mohd Haiqal Fikri dikatakan menyuapkan biji rambutan kepada adiknya untuk mendiamkan Mohd Hafizie Farhan.

Ibu mangsa, Fatin Syamimi Azman, 18, pengawal keselamatan di HSNZ, ketika itu sedang bertugas.
Beliau yang ditemui di Unit Forensik HSNZ berkata, kedua-dua anak mereka itu dijaga Mohd Aizuddin di rumah mentuanya dan sebaik menyedari kejadian, bapa mangsa segera menghantarnya ke hospital dengan bantuan jiran.

“Saya difahamkan Mohd Haikal Fikri dan suami sedang makan buah rambutan di ruang tamu dan suami ke dapur untuk membuat susu selepas Mohd Hafizie Farhan menangis sebaik terjaga dari tidur.

“Mungkin kerana sudah biasa menyuapkan puting setiap kali adiknya menangis, Mohd Haikal Fikri cuba memujuk adiknya dengan menyuapkan biji rambutan ketika suami membancuh susu di dapur.

“Apabila kembali ke bilik, suami melihat bayi kami pucat dan sesak nafas.

Suami menyedari Mohd Hafizie Farhan tercekik biji rambutan selepas melihat biji rambutan yang dipegang Mohd Haikal Fikri tiada lagi di tangannya,” katanya yang sebak.

Jenazah Mohd Hafizie Farhan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Laut jam 6 petang semalam.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar